Thursday, June 14, 2007

Ke IPT atau Menara Gading

Pertengahan tahun biasanya akan mula mencorak azam baru bagi pelajar lepasan SPM. Mereka tercari-cari tempat untuk menyambung belajar bagi yang masih berminat untuk belajar. Nasib baik jika cepat dapat tawaran belajar di Matriks. Mana yang tak dapat tawaran, akan dilanda resah. Ke mana hala hendak dituju. Ambil Diploma? Kolej swasta berlumba-lumba menawarkan berbagai kursus. Ada pakej, ada tawaran komputer riba dan macam-macam. Cuma fikirlah sebelum mengambil keputusan. Bertanya kepada yang tahu. Jangan nanti sesat di jalan.

Saya teringat masa dulu-dulu. Universiti belum banyak seperti sekarang. Kolej swasta pun tak banyak macam cendawan tumbuh seperti sekarang. Kalau nak ke universiti mesti ada STPM. Tak dapat keputusan baik harapan menjejak ke menara gading akan kelam dan kabur. Lepas itu ada universiti yang menerima pelajar dengan Diploma seperti UPM atau 'promoted' dari program diploma. Saya rasa kaedah itu amat bagus. Ia memberi peluang kepada pelajar untuk memendekkan tempoh belajar. Pelajar tak perlu mempunyai STPM boleh terus ke program ijazah. Ia juga memberi dorongan kepada pelajar untuk cemerlang dalam pelajaran. Saya tak tahu sama ada peluang begitu masih diberikan atau tidak. Ini kerana setiap tahun sekolah-sekolah mengeluarkan pelajar cemerlang yang begitu ramai. Ia satu 'statement' yang tidak adil jika hendak membuat perbandingan 'kecemerlangan' di antara pelajar sekarang dengan pelajar dulu-dulu. Sistem belajar sudah berubah, kaedah pembelajaran juga sudah berubah. Modul juga sudah bertambah. Jadi kita kena terima yang cemerlang adalah yang memang cemerlang. Mereka inilah yang berlumba-lumba ke IPT, dalam dan luar negara.

Sekarang bilangan pelajar yang cemerlang dan layak sudah terlalu ramai. Pemilihan hanya dibuat berdasarkan merit keputusan peperiksaan dan kokurikulum. Tapi saya rasa oleh kerana penilaian banyak berorientasikan peperiksaan, maka kecemerlangan sering dilihat dari sudut itu. Amat malang bagi pelajar yang berada di kelompok yang lebih rendah. Peluang mereka ke IPT agak suram. Opsyennya ialah ke kolej swasta. Kos belajar di kolej tersebut juga agak membebankan.

Saya pernah terdengar tentang sistem di Jepun. Tentang perkongsian kos pembelajaran di antara ibubapa dengan pihak universiti. Lebih kurang macam PTPTN juga. Kalaulah semua graduan yang mendapat bantuan PTPTN itu membayar balik pinjaman tersebut, alangkah cantiknya sistem itu. Saya rasa sedih melihat nama-nama yang tertera dalam akhbar tentang peminjam yang 'default' itu. Kenapa tak bayar balik? Tak ada duit? Tak dapat kerja lagi? Atau sengaja mahu 'lari'. Kalau rasa-rasa tak mahu nak bayar balik, tak usahlah ambil bantuan tu. Berlagaklah macam orang kaya. PTPTN itu adalah satu tabung. Kalau tabung itu tak diisi semula, macam mana adik-adik nak belajar pulak. Janganlah budaya tak mahu bayar hutang itu merosakkan masa depan orang lain. Bersimpatilah dengan nasib orang lain. Mudah-mudahan rezeki yang diperolehi akan bertambah berkat. Sesungguhnya keberkatan itu yang selalu kita pohonkan dari Allah.

No comments: