Wednesday, July 4, 2007

Sofiyah

Entah kenapa saya tiba-tiba teringat pada nama itu. Nama seorang teman waktu kecil dulu. Nama itu indah, mudah disebut. Teman saya waktu kecil dulu pun seorang yanag cantik, lembut orangnya dan sangat merendah diri. Jadi hari ini saya nak buat satu cerita atas tajuk

"SOFIYAH".

Cerita saya tidak menggambarkan tentang teman saya itu. Langsung tidak ada kena mengena, sekadar meminjam namanya sahaja. Ia juga tidak ada kena mengena dengan sesiapa pun, sama ada yang hidup ataupun yang telah tiada. Khayalan semata-mata. Saya tak pandai buat cerita, tulispun tonggang langgang lagi. Kalau ada sesiapa yang terbaca cerita saya ini dan nak komen pun dialu-alukan. Mungkin boleh bagi saya idea untuk memanjang-manjangkannya dan menjadi sebuah buku. Kalau boleh janganlah sampai jadi macam 'cerita' negara latin yang meleret-leret itu, sudahlah.

Begini ceritanya:



SOFIYAH


Sofiyah mengemaskan barang-barangnya yang terakhir. Dia memastikan pasport dan dokumen perjalanannya sudah ada di dalam beg galasnya bagi memudahkannya di kaunter imegresen nanti. Namun dalam hatinya masih berat untuk meninggalkan keluarganya. Cuti pengajiannya masih ada lagi sepuluh hari, tapi dia nekad untuk kembali ke United Kingdom hari ini. Penerbangannya pada jam 11.45 malam dengan penerbangan Malaysia. Perjalanan panjang itu tentu akan memenatkannya, dia pasti akan rasa jemu dengan tempoh itu. Dia melihat jam di dinding baru menunjukkan jam 6.00 petang. Dia memutuskan untuk pergi lebih awal ke lapangan terbang KLIA.

Tengahari tadi dia sudah minta izin dari ayahnya, Datuk Badrul Naim, untuk kembali ke Dublin hari ini. Kesibukan ayahnya tidak memungkinkan dapat pergi bersama menghantarnya ke airport. Ayahnya orang bisnes, sentiasa sibuk. Hari ini dia ada tetamu dari Korea dan telah menyerahkan tugas menghantarnya ke KLIA kepada pemandunya, Pak Samad. “Ibu tak payah hantar Sofi, temankan ayah, biar Pak Samad saja hantar Sofi.” Katanya bila ibunya, Datin Juriah menyatakan kesalnya kerana tidak dapat bersamanya ke airport.

“Abang ke mana, ibu?” tanya Sofiyah

“Masih di ofis agaknya, mungkin bersama ayah.” Jawab ibunya. Sofiyah menghantar SMS kepada abangnya, Safuan, menyatakan akan berangkat ke airport dan memohon maaf kerana banyak menyusahkannya. Sofiyah memeluk dan mencium ibunya dan Mak Som, pembantu rumahnya sebelum masuk ke kereta.

"Pukul berapa berangkat, Sofiyah?" Tanya Pak Samad, sebaik-baik dia masuk dan ke tempat duduk pemandu. Pak Samad mengenakan tali keledar dan membetulkan duduknya agar lebih selesa.
"11.45 malam." Pendek jawab Sofiyah.

Pak Samad memandu perlahan, keluar dari rumah banglo besar itu. Sofiyah melambaikan tangannya kepada ibunya dan Mak Som yang berdiri di sebelahnya. Mak Som adalah isteri Pak Samad dan sudah dianggap seperti ibunya juga. Sejak kecil Mak Som sudah bersama mereka.

“Kenapa awal sangat, Sofiyah. Banyak masa lagi.” Tanya Pak Samad.

“Kan Pak Samad nak bawa ibu nanti. Ayah tak balik petang ni, dia pergi ke hotel tu nanti dengan abang dari ofis terus.” Jawab Sofiyah.

“Oh ya tak ya, Pak Samad lupa. Alaa dah tua ni selalu lupa pulak.” Kata Pak Samad sambil ketawa kecil.

Sofiyah turut ketawa. “Sofi solat maghrib di airport saja. Senang. Pak Samad tak perlu tunggu Sofi. Nanti lambat pulak nak hantar ibu.” Kata Sofiyah lagi.

Pak Samad mengangguk. “Kenapa nak balik cepat sangat Sofiyah, kan cutinya lama lagi?” tanya Pak Samad memandang Sofiyah melalui cermin.

Pak Samad sudah lama bekerja dengan Datuk Badrul dan sangat rapat dengan keluarga itu. Sebagai seorang pemandu yang sangat berdisplin, setiap kali memandu dan membawa mereka Pak Samad tidak mahu mereka duduk di hadapan, di sebelahnya. Dia lebih selesa begitu. Dari cermin kereta itu Pak Samad nampak Sofiyah seperti tidak gembira dan ada sesuatu yang ingin disembunyikan.

“Dah lama Sofi kat sini, Pak Samad, lagipun rumah di sana tu pun dah lama kosong, nak kemas-kemas sikit sebelum semester. Ada housemate baru nak masuk rumah, jadi Sofi pun dah janji dengan Tina nak balik awal. Dia kena resit paper jadi dia tak balik. Kesian dia seorang di sana, Pak Samad. Kalau ada masa berkemas rumah sebelum cuti semester habis, tak lah Sofi penat sangat nanti.” Alasan Sofiyah

“Budak baru tu budak Malaysia jugakah?” tanya Pak Samad sekadar ingin tahu.

Sofiyah memandang Pak Samad melalui cermin depan. “ Huh uh, Intan namanya. Budak lama yang seorang dah balik sama Sofi dulu, jadi ada kawan baru pulak masuk. Kat sana macam tu lah Pak Samad, kalau tidak, banyaklah duit sewa rumah nak kena bayar. Itu pun kena bayar 200 euro seorang, lebih kurang 900 duit kita sebulan.”

“Banyak tu...., kawan se rumah Sofi ada berapa orang?”

“Empat”

“Wah... jadi 3,600 duit kita. Besar ke rumahnya?”

Sofiyah tersenyum. “Apartment aje Pak Samad. Dua bilik, ada hall, ada dapur, satu bilik air. Itu aje. Jadilah... sementara belajar, kena jimatlah Pak Samad. Itu sebab rasa rugi kalau tak duduk. Kalau cuti sem selalu Sofi cari kerja part-time Pak Samad, nak cari duit lebih sikit. Bolehlah belanja lebih. Kali ni Sofi balik, tak carilah.”

“Senang ke dapat kerja kat sana?” Tanya Pak Samad lagi.

“Tak juga, tapi kena pandai lah. Sofi ingat Sofi pun nak cari kerja kat sana lepas graduate nanti. Cari pengalaman.”

“Mengapa tak minta pada abah aje? Abah Sofi kan banyak duit.” Pak Samad bersuara.

Sofiyah melepaskan pandangannya keluar sambil menjawab. “Memang abah bagi Pak Samad. Cukup yang dia bagi tu kalau setakat nak bayar sewa rumah dengan makan. Tapi kadang-kadang kita nak jalan-jalan mesti ada extra money, Pak Samad. Lagipun ada duit yang kita dapat sendiri puas hati.” Jawab Sofi.

Pak Samad tidak bertanya lagi, membiarkan Sofiyah melayani fikirannya. Dia pun macam tak ada ‘mood’ nak bersoal jawab dengannya. Sofiyah memejamkan matanya bukan untuk tidur kerana nanti dia akan tidur dalam perjalanan yang amat lama itu nanti. Dalam kotak fikirannya dia rasa cutinya amat membosankan. Ayahnya sibuk dengan bisnesnya, langsung tak ada masa bercuti seperti janjinya, jadi ibunya pun tak dapat menemaninya berjalan-jalan. Dia kesal dengan keadaan itu. Ayahnya sepatutnya sudah boleh berehat. Abangnya sudah boleh mengambil alih.

“Boleh Pak Samad tanya sikit pada Sofi?” tiba-tiba Pak Samad bersuara, jemu dengan suasana sepi itu.

“Ada apa Pak Samad?” Jawab Sofiyah, matanya masih memandang keluar tingkap.

“Pak Samad tengok Sofi macam sedih aje balik ke sini. Tinggal boyfriend kat sana agaknya?” Pak Samad bertanya sambil ketawa.

Sofiyah ketawa kecil mendengar kata Pak Samad, “Eh, tidaklah Pak Samad. Sofi mana ada boyfriend. Study mana boleh campur aduk dengan boyfriend.”

“Jadi Zahid sahajalah yang Sofi kawan sekarang ni?” tanya Pak Samad lagi.

“Buat masa sekarang macam tu lah Pak Samad.” Sofiyah menjawab seperti tidak suka bila Pak Samad menyebut nama Zahid.

“Habis? Kenapa balik ke sana cepat sangat. Kat sini kan boleh jumpa Zahid. Sofi tak jumpa dia sebelum balik ni?” tanya Pak Samad.

“Ada, minggu lepas.” Jawab Sofiyah memandang muka Pak Samad melalui cermin kereta.

“Sofi tak cakap dengan dia Sofi nak balik hari ni?” soal siasat Pak Samad lagi, menjeling cermin kereta itu.

“Sofi dah beritahu dia, agaknya dia lupa. Dia sibuk lah Pak Samad. Malas Sofi nak kacau.” jawab Sofiyah acuh tak acuh.

“Haa, jadi Pak Samad rasa Sofiyah ni macam nak lari dari sesuatu. Merajuk ke? Ada kaitan dengan Zahid ke?” tanya Pak Samad lagi.




Setakat ini dulu cerita saya. Saya akan sambung lagi di satu masa nanti, kalau rasanya ada yang ingin tahu apa berlaku seterusnya kepada Sofiyah.

Tiba-tiba saya mendengar azan solat Maghrib di skrin komputer ini. Ia tidak mengganggu, tapi mengingatkan saya kepada kewajipan yang tak boleh tidak mesti ditunaikan. Tidak ada kompromi..... Jadi jumpa lagi. Insya Allah.

No comments: