Tuesday, May 22, 2007

IBU DI HARI IBU

Pagi ini saya menerima berita dari seorang teman menyatakan ada seorang teman yang kini sedang dirawat di hospital kerana 'stroke'. Beberapa minggu lepas, saya menerima berita sedih tentang kematian 2 orang teman lama kerana kanser. Berita itu menyedarkan saya tentang penyakit itu yang sentiasa mengintai mangsanya, tak kira usia, lelaki atau perempuan. Kenapa agaknya sering sangat kita dengar sekarang. Adakah kerana kecanggihan kehidupan atau 'way of life' sekarang? Atau kerana kecanggihan kaedah berita itu sendiri. Saya rasa kebanyakan orang sekarang amat 'concsious' tentang menjaga kesihatan, sehinggakan berbagai makanan kesihatan yang wujud hampir setiap hari. Atau kerana banyaknya penyakit maka berbagai makanan kesihatan wujud, kononnya boleh mengelak berbagai penyakit. Entahlah, ada orang mengambil kesempatan di atas nasib malang orang lain. Begitulah dunia dan opportunist.

Saya juga mempunyai seorang ibu yang sering juga mengadu tentang kesihatannya. Saya berbuat apa saja untuk meredakan dan membuat dia lebih selesa dalam kesakitan itu. Saya tidak ada 'kuasa' untuk menyembuhkannya, saya hanya mampu berdoa dan memohon kepada Ilahi. Saya juga redha dengan fitrah itu. Dia Pencipta yang Maha Mengetahui dan mengatur kehidupan kita mengikut kehendakNya. Apapun kita sentiasa diberi kesempatan untuk memohon yang terbaik untuk diri kita, orang-orang di sekeliling kita dan kehidupan kita. Kita mohon supaya Dia mengubahnya.

Bercakap tentang ibu, saya pasti ramai orang teringat pada Hari Ibu yang disambut baru-baru ini. Saya mendengar ucapan untuk ibu yang sungguh indah pada hari tersebut melalui media, radio, akhbar dan berbagai sambutan diadakan di merata-merata tempat, hotel, restoran. Macam satu pesta pula dengan nukilan-nukilan dari anak-anak untuk ibu. Tetapi saya tidak menyambutnya. Macam hari biasa yang lain, saya masak, membasuh, dan membuat kerja biasa saya. Tidak ada istilah 'breakfast in bed' atau menggantung apron hari itu. Pelik? Tidak, saya pasti ramai yang begitu, macam saya.

Ibu saya juga dekat dengan saya, sentiasa bersama saya. Saya melihatnya hari-hari. Saya tahu bila dia sakit, bila dia sihat. Saya akan membawanya ke mana-mana selagi dia terdaya dibawa. Saya juga seorang ibu. Pada saya Hari Ibu hanyalah satu tarikh yang telah dipersetujui, di mana anak-anak akan menggunakan ruang itu untuk melafazkan kata-kata indah untuk seorang ibu. Tapi ibu tetap ibu pada bila-bila masa.

Saya menerima ucapan selamat dari anak-anak. Itu saja. Tak ada hadiah. Saya sedih? Tidak juga. Yang penting mereka tahu ada hari yang dinamakan 'Hari Ibu'. Ibu saya sudah tinggal bersama saya sejak beberapa tahun lalu walaupun dia ada opsyen untuk tinggal bersama adik beradik saya yang lain. Mereka, maksud saya, adik beradik saya semuanya ok, berjawatan baik, malah jauh lebih baik dari saya. Dulu saya sering rasa 'cemburu' dengan kelebihan mereka itu. Sekarang tidak lagi. Malah saya bersyukur kerana ibu memilih untuk tinggal bersama saya, walaupun saya bukan anak 'favourite'. Hmm, itulah dunia dan kehidupan.

Saya hanya mahukan yang terbaik untuk ibu. Saya juga mahu kasih sayangnya. Saya mahukan dia rasa bahagia, menyayangi dan disayangi. Saya sering rindu bila ibu saya pergi ke rumah adik beradik yang lain. Rasa 'cemburu' itu masih ada barangkali. Saya takut ibu saya akan berkata bahawa saya telah tidak melayannya dengan baik. Saya tak mahu dia berkecil hati.

Harapan saya, satu masa di hari tua saya nanti, sekiranya ditakdirkan saya dikurnia usia panjang seperti ibu saya, anak- anak saya akan sanggup menjaga dan mengasihi saya hingga ke akhir hayat saya.

Walaupun sudah agak lewat, saya ingin mengucapkan "Selamat Hari Ibu" kepada semua ibu-ibu. Ianya satu 'jawatan' dan pangkat yang tak boleh ditarik balik bak kata seorang teman yang menghantar sms kepada saya. Begini bunyinya:

MOTHERHOOD IS A TOUGH 24-HOUR JOB. NO PAY, NO DAY-OFF, MOST OFTEN UNAPPRECIATED & YET RESIGNATION IS IMPOSSIBLE!

Fikirkanlah kata-kata itu. Mungkin ada kebenarannya. Hanya yang mengalami sahaja yang tahu.

ibu

Pagi ini seorang teman menghantar sms memberitahu tentang seorang teman yang sedang dirawat di hospital kerana 'stroke'. Saya belum ada kesempatan menziarahinya. Doa saya semoga dia cepat sembuh. Beberapa minggu yg lepas saya juga menerima berita sedih kematian 2 teman lama akibat kanser. Walaupun kami tidak rapat tetapi berita itu sudah cukup menyedarkan saya betapa penyakit itu sentiasa mengintai mangsanya, tak kira usia.


Apa sebenarnya yang perlu kita buat untuk menghadapinya? Siapakah yang patut disalahkan dalam perkara ini. Atau kita hanya berkata bahwa segala-galanya sudah ditakdirkan. Memang mudah mengucapkan dan berharap pesakit itu supaya redha dengan ketentuanNya. Dia Yang Maha Tahu. Dia Pencipta yang menentukan segala-galanya. Tetapi kita masih ada ruang untuk memohon kepadaNya, meminta yang terbaik, mudah-mudahan permohonan kita dikabulkan.


Saya juga mempunyai seorang ibu tua yang sentiasa mengadu tentang kesihatannya. Saya akan melakukan apa saja supaya dia selesa dalam kesakitan itu. Saya tidak ada kuasa untuk menyembuhkan, saya hanya mampu berdoa setiap waktu. Fitrah itu mesti diterima dengan redha. Ibu saya sudah melalui berbagai pahit getir membesarkan kami adik beradik. Akhirnya dia memilih untuk tinggal bersama saya walaupun saya bukanlah anak 'favourite'. Namun saya bersyukur kerana dapat bersamanya sehingga hari ini. Saya amat berterima kasih di atas segala yang telah ibu lakukan untuk saya selama ini tanpa sedar.


Saya rasa rindu padanya bila dia tiada di sisi saya. Saya harap kerinduan itu berpanjangan.

Sunday, May 20, 2007

Suka duka

Tiba-tiba saya rasa jiwa saya yang sensitif tersentuh, sewaktu menghadiri majlis akad nikah seorang saudara kelmarin. Fikiran saya dibebani banyak kenangan. Manis yang menjadi pahit. Apakah kita mesti meniti kenangan itu untuk memujuk diri sendiri? Mungkin, kerana dengan itu kita secara tidak langsung akan muhasabah diri. Banyak sangat rasanya kesilapan yang telah berlaku sepanjang perjalanan hidup ini. Saya tidak dapat melaluinya lagi, maupun cuba membetulkan kesilapan itu. Saya hanya mampu membaiki supaya kesilapaan itu tidak berlaku lagi pada saya atau pada generasi saya.

Rasa terkilan itu perlu saya atasi segera supaya saya dapat menjalani kehidupan harian itu dengan lebih tenang. Hidup ini terlalu singkat untuk ditangisi. Saya sedar masih ada orang yang akan menghargai diri saya walaupun jauh dalam hati saya ingin dihargai oleh orang yang saya inginkan. Saya mahu dia menghargai diri saya. Apakah permintaan saya itu keterlaluan? Entahlah. Saya rasa ramai orang yang seperti saya, mengharap dan masih mengharap sesuatu akan berubah. Ada secebis kasih sayang yang diterjemahkan bukan sekadar dirasai oleh dirinya sendiri. Kadang-kadang saya merasakan kenapa terlalu susah untuk seseorang itu untuk menyebut patah-patah perkataan pendek yang boleh mengubah sesuatu seperti 'Aku sayangkan kamu', 'aku minta maaf', 'kau cahaya hidupku' , 'aku hargai kamu', 'terima kasih', 'kau cantik di mataku'. Aduh.... alangkah indahnya kalau kata-kata itu dilafazkan dengan penuh keikhlasan bukan pura-pura.

Jadi janganlah jadikan hidup ini pura-pura. Di 'alam' lain yang menanti kita, sudah tiada lagi kepura-puraan. Aku amat takut mengingatkan perjalanan itu nanti.

Thursday, May 17, 2007

Percubaan pertama - pembelajaran.

Kita mulakan dengan langkah pertama dalam apa jua perkara yang ingin kita lakukan. Sebagai blogger baru banyak perkara yang saya perlu pelajari. Saya harap dapat berkongsi maklumat melalui pengalaman yang dihimpun. Saya masih ingat dunia penulisan saya bermula dgn penerbitan sebuah buletin bahasa Inggeris(BI) oleh kelas saya sewaktu di bangku sekolah. Tujuannya hanya untuk membaiki penguasaan bahasa Inggeris kami. Ia menyeronokkan apabila membaca sumbangan rakan se kelas. Buletin itu dinamakan Kaleidoscope. Itulah satu-satunya, lepas itu kami sibuk belajar untuk peperiksaan. Lepas itu saya menulis suka suka ketika di kolej, masa kerja, kerja kursus dll. Ada yang saya hantar tetapi banyak juga yang tersimpan sahaja, akhirnya hanya masuk bakul sampah.

Waktu itu kebanyakan buku teks dan rujukan dalam BI, jadi tak ada masalah. Di sekolah, semua orang di sekeliling kita bercakap dalam BI. Apakah bezanya bahasa penjajah walaupun selepas merdeka? Saya tidak pernah menganggap BI sebagai bahasa penjajah, tetapi sebagai bahasa ilmu. Bila perubahan dasar yang mengubah bahasa pengantar dari BI ke BM dengan ejaan baru, ia seperti memulakan persekolahan semula dengan berbagai istilah yang selama ini tidak pernah digunakan. Maka kecelaruan dan kekeliruan sering berlaku dalam kotak fikiran saya. Berfikir dan menterjemah pada masa yang sama.

Seharusnya dasar itu mengkayakan BM, menguntungkan kerana BM dimartabatkan dengan status lebih tinggi. Apa yang berlaku ialah penguasaan BI sebagai bahasa antarabangsa menjadi semakin lemah. Saya sering melihat ada muka yang termangu dan kosong bila pengerusi atau ahli mesyuarat atau penceramah menggunakan BI. Sebagai orang melayu yang lahir dan melalui 2 fasa itu, saya amat bersyukur. Kesusahan mengendong beberapa kamus BI, Oxford, Webster, Collins tak termasuk kamus dwi-bahasa berbaloi. Kita tidak mengorbankan apa-apa bila ada subjek di sekolah yang menggunakan BI semula. Ia satu perubahan positif. Tambahan kempen TMM sangat hebat sekarang.

Saya percaya kita sepatutnya menggunakan BI dan BM dengan tatabahasa yang betul, bukan bercampur aduk seperti yang kita dengar orang bercakap sekarang. Kita pernah dengar istilah 'Manglish' atau 'Singlish'. Itulah kita. Tak termasuk penggunaan bahasa sms yang lintang pukang. Sepatutnya mesejnya yang ringkas bukan ejaannya. Apa nak dikata, saya pun turut berubah walaupun setiap hari saya masih lagi membaca akhbar NST dan BH yang dilanggan sejak lebih 20 tahun. Dua bahasa antarabangsa itu tetap saya gunakan disamping bahasa ibunda. Satu pembelajaran tidak akan berhenti selagi ada nyawa di badan.

Tuesday, May 15, 2007

First day

This is my first attempt writing in a blog.. This week is Mother's Day week. Mother, Mother, Mother. It's good to feel the warmth of mother's love.