Tuesday, May 22, 2007

IBU DI HARI IBU

Pagi ini saya menerima berita dari seorang teman menyatakan ada seorang teman yang kini sedang dirawat di hospital kerana 'stroke'. Beberapa minggu lepas, saya menerima berita sedih tentang kematian 2 orang teman lama kerana kanser. Berita itu menyedarkan saya tentang penyakit itu yang sentiasa mengintai mangsanya, tak kira usia, lelaki atau perempuan. Kenapa agaknya sering sangat kita dengar sekarang. Adakah kerana kecanggihan kehidupan atau 'way of life' sekarang? Atau kerana kecanggihan kaedah berita itu sendiri. Saya rasa kebanyakan orang sekarang amat 'concsious' tentang menjaga kesihatan, sehinggakan berbagai makanan kesihatan yang wujud hampir setiap hari. Atau kerana banyaknya penyakit maka berbagai makanan kesihatan wujud, kononnya boleh mengelak berbagai penyakit. Entahlah, ada orang mengambil kesempatan di atas nasib malang orang lain. Begitulah dunia dan opportunist.

Saya juga mempunyai seorang ibu yang sering juga mengadu tentang kesihatannya. Saya berbuat apa saja untuk meredakan dan membuat dia lebih selesa dalam kesakitan itu. Saya tidak ada 'kuasa' untuk menyembuhkannya, saya hanya mampu berdoa dan memohon kepada Ilahi. Saya juga redha dengan fitrah itu. Dia Pencipta yang Maha Mengetahui dan mengatur kehidupan kita mengikut kehendakNya. Apapun kita sentiasa diberi kesempatan untuk memohon yang terbaik untuk diri kita, orang-orang di sekeliling kita dan kehidupan kita. Kita mohon supaya Dia mengubahnya.

Bercakap tentang ibu, saya pasti ramai orang teringat pada Hari Ibu yang disambut baru-baru ini. Saya mendengar ucapan untuk ibu yang sungguh indah pada hari tersebut melalui media, radio, akhbar dan berbagai sambutan diadakan di merata-merata tempat, hotel, restoran. Macam satu pesta pula dengan nukilan-nukilan dari anak-anak untuk ibu. Tetapi saya tidak menyambutnya. Macam hari biasa yang lain, saya masak, membasuh, dan membuat kerja biasa saya. Tidak ada istilah 'breakfast in bed' atau menggantung apron hari itu. Pelik? Tidak, saya pasti ramai yang begitu, macam saya.

Ibu saya juga dekat dengan saya, sentiasa bersama saya. Saya melihatnya hari-hari. Saya tahu bila dia sakit, bila dia sihat. Saya akan membawanya ke mana-mana selagi dia terdaya dibawa. Saya juga seorang ibu. Pada saya Hari Ibu hanyalah satu tarikh yang telah dipersetujui, di mana anak-anak akan menggunakan ruang itu untuk melafazkan kata-kata indah untuk seorang ibu. Tapi ibu tetap ibu pada bila-bila masa.

Saya menerima ucapan selamat dari anak-anak. Itu saja. Tak ada hadiah. Saya sedih? Tidak juga. Yang penting mereka tahu ada hari yang dinamakan 'Hari Ibu'. Ibu saya sudah tinggal bersama saya sejak beberapa tahun lalu walaupun dia ada opsyen untuk tinggal bersama adik beradik saya yang lain. Mereka, maksud saya, adik beradik saya semuanya ok, berjawatan baik, malah jauh lebih baik dari saya. Dulu saya sering rasa 'cemburu' dengan kelebihan mereka itu. Sekarang tidak lagi. Malah saya bersyukur kerana ibu memilih untuk tinggal bersama saya, walaupun saya bukan anak 'favourite'. Hmm, itulah dunia dan kehidupan.

Saya hanya mahukan yang terbaik untuk ibu. Saya juga mahu kasih sayangnya. Saya mahukan dia rasa bahagia, menyayangi dan disayangi. Saya sering rindu bila ibu saya pergi ke rumah adik beradik yang lain. Rasa 'cemburu' itu masih ada barangkali. Saya takut ibu saya akan berkata bahawa saya telah tidak melayannya dengan baik. Saya tak mahu dia berkecil hati.

Harapan saya, satu masa di hari tua saya nanti, sekiranya ditakdirkan saya dikurnia usia panjang seperti ibu saya, anak- anak saya akan sanggup menjaga dan mengasihi saya hingga ke akhir hayat saya.

Walaupun sudah agak lewat, saya ingin mengucapkan "Selamat Hari Ibu" kepada semua ibu-ibu. Ianya satu 'jawatan' dan pangkat yang tak boleh ditarik balik bak kata seorang teman yang menghantar sms kepada saya. Begini bunyinya:

MOTHERHOOD IS A TOUGH 24-HOUR JOB. NO PAY, NO DAY-OFF, MOST OFTEN UNAPPRECIATED & YET RESIGNATION IS IMPOSSIBLE!

Fikirkanlah kata-kata itu. Mungkin ada kebenarannya. Hanya yang mengalami sahaja yang tahu.

No comments: