Sunday, May 20, 2007

Suka duka

Tiba-tiba saya rasa jiwa saya yang sensitif tersentuh, sewaktu menghadiri majlis akad nikah seorang saudara kelmarin. Fikiran saya dibebani banyak kenangan. Manis yang menjadi pahit. Apakah kita mesti meniti kenangan itu untuk memujuk diri sendiri? Mungkin, kerana dengan itu kita secara tidak langsung akan muhasabah diri. Banyak sangat rasanya kesilapan yang telah berlaku sepanjang perjalanan hidup ini. Saya tidak dapat melaluinya lagi, maupun cuba membetulkan kesilapan itu. Saya hanya mampu membaiki supaya kesilapaan itu tidak berlaku lagi pada saya atau pada generasi saya.

Rasa terkilan itu perlu saya atasi segera supaya saya dapat menjalani kehidupan harian itu dengan lebih tenang. Hidup ini terlalu singkat untuk ditangisi. Saya sedar masih ada orang yang akan menghargai diri saya walaupun jauh dalam hati saya ingin dihargai oleh orang yang saya inginkan. Saya mahu dia menghargai diri saya. Apakah permintaan saya itu keterlaluan? Entahlah. Saya rasa ramai orang yang seperti saya, mengharap dan masih mengharap sesuatu akan berubah. Ada secebis kasih sayang yang diterjemahkan bukan sekadar dirasai oleh dirinya sendiri. Kadang-kadang saya merasakan kenapa terlalu susah untuk seseorang itu untuk menyebut patah-patah perkataan pendek yang boleh mengubah sesuatu seperti 'Aku sayangkan kamu', 'aku minta maaf', 'kau cahaya hidupku' , 'aku hargai kamu', 'terima kasih', 'kau cantik di mataku'. Aduh.... alangkah indahnya kalau kata-kata itu dilafazkan dengan penuh keikhlasan bukan pura-pura.

Jadi janganlah jadikan hidup ini pura-pura. Di 'alam' lain yang menanti kita, sudah tiada lagi kepura-puraan. Aku amat takut mengingatkan perjalanan itu nanti.

No comments: