Saturday, July 28, 2007

BAWANG PUTIH, BAWANG MERAH


Bawang putih dan bawang merah sinonim dengan semua orang terutama yang terlibat dalam bidang masak memasak. Tidak kira sama ada dia tukang masak profesional atau sekadar seorang ibu yang biasa masak di dapur. ‘Bawang Putih Bawang Merah’ juga telah menjadi tajuk bualan ramai wanita yang suka menonton TV baru-baru ini, gara-gara satu cerita yang digarap menggunakan tajuk itu.

Dalam realiti kehidupan selabu bawang putih dan bawang merah itu, amatlah besar jasa mereka kepada dunia perubatan alternatif, kalau dianggapkan perubatan modern itu sebagai yang utama. Pada dasarnya dunia perubatan modern adalah percambahan dari dunia perubatan tradisional yang telah bergerak begitu pantas meninggalkan asasnya itu jauh di belakang.

Kali ini saya mahu bicara sedikit tentang kelebihan bawang putih yang memang terkenal itu.


BAWANG PUTIH

Nama botani : Allium sativum

Garlic Sayings:

"Tomatoes and oregano make it Italian; wine and tarragon make it French. Sour cream makes it Russian; lemon and cinnamon make it Greek. Soy sauce makes it Chinese; garlic makes it good!" - Alice May Brock

"A nickel will get you on the subway, but garlic will get you a seat." - Old New York Yiddish Saying

Diadaptasi dari All About Garlic dalam website: http://whatscookingamerica.net/garlictips.htm

Setiap labu bawang putih mengandungi 6-30 ulas mengikut variti. Sejak beberapa kurun yang lalu, bawang putih sudah digunakan dalam perubatan kerana kualitinya itu. Seawal tahun 4500SM, Khnoum Khoufouf yang membina piramid dalam kurun itu adalah di antara orang terawal yang menemui khasiat bawang putih. Beliau telah mengarahkan semua pekerjanya mengambil bawang putih untuk meningkatkan kecergasan mereka. Maklumlah bukan senang nak bina piramid. Selepas itu Hippocrates(460-357SM) mengesyorkan bawang putih digunakan dalam mengubati penyakit usus.

Bawang putih dipercayai dijumpai di Asia Tengah dan dengan itu telah digunakan secara meluas di China seawal 3000SM sebagai perencah masakan sehingga sekarang. Penggunaannya semakin meluas ke seluruh dunia – Oleh orang Mesir, Greek, Roman bagi tujuan yang sama. Sekarang bawang putih banyak ditanam di negara yang beriklim panas dan kering seperti di lembah Mediterranean, India, China, Kenya, Brazil dan beberapa buah negara lagi.

Analisis setiap 100 gm bahagian bawang yang boleh dimakan mengandungi secara purata:

KANDUNGAN

PERATUS

Kelembapan

62

Kabohidrat

29.8

Protin

6.3

Lemak

0.1

Mineral

1

Serat

0.8

*Makulmat dipetik dari Buku ‘Herbs That Heal’ oleh H.K. Bakhru.

Bawang putih mengandungi mineral dan zat seperti kalsium, kalium, fosferus, ferum, thiamin, riboflavin, niacin, vitamin C dan lain-lain seperti sulfur, selenium. Bawang putih juga mengandungi phitokimia dan essential oil, allyl propyl disulfit, allicin, allisatin I dan allisatin II, semuanya amat berguna dalam perubatan.

Dapatkan maklumat lanjut tentang bawang putih ini melalui laman web. Antaranya ialah:

http://whatscookingamerica.net/garlictips.htm

http://en.wikipedia.org/wiki/Garlic

Selain sebagai perencah dalam masakan, bawang putih digunakan dengan meluas dalam perubatan. Contohnya untuk mengubati jerawat. Tenyeh sikit bawang putih yang di lenyek, sebaiknya pada jerawat yang baru tumbuh. Ouch…. Ia pedih namun berkesan, mungkin meninggalkan sedikit kesan kehitaman. Bersabar….. kesan itu akan hilang dan tidak meninggalkan parut. Pantang larang jerawat ialah jangan gatal tangan nak meraba dan memicitnya sebelum waktunya. Dan jaga makanan harian. Kalau langgar pantang, tak gerenti. Tahukah anda bahawa di tangan dan muka anda terdapat ribu-ribu dan juta-juta mikoorganisma yang sentiasa berusaha membuat kita tidak cantik dan kacak?

Bawang putih juga membantu menurunkan tahap kolestrol dalam darah, mengawal tekanan darah, rawatan kanser, membantu penghadaman, mengurangkan sembelit, mengurang kesakitan akibat rheumatism, membantu dalam rawatan penyakit paru-paru(bronchial), membuang toksin, diguna oleh wanita untuk mengawal pertumbuhan dan infeksi yis dan berbagai-bagai lagi.

Sekadar menyebut situasi biasa yang sering berlaku kepada kita. Keadaan yang tidak menyenangkan kita iaitu kembung perut, senak atau masalah penghadaman makanan. Bawang putih amat berguna untuk sistem penghadaman. Ianya baik untuk membuang kumuhan dari perut. Bawang putih yang di lenyek dan diminum bersama susu atau air suam membantu membuang apa yang patut dibuang dari perut kita setiap hari. Kesan antiseptik yang ada pada bawang putih itu boleh mengurangkan kerengsaan usus. Secara tidak langsung akan membunuh cacing namun tidak membunuh organisma yang membantu penghadaman itu. Ajaib kan?

Secara amnya bolehlah dikatakan bahawa bawang putih amat baik untuk jantung, sebagai makanan kepada rambut, membuka selera makan, memberi kekuatan dan kecergasan. Apa lagi yang kita mahukan dari seulas bawang putih yang tidak berdosa tetapi sering dituduh dan dipersalahkan kerana menyebabkan bau badan(BO) yang kurang enak itu. Bukan bawang putih yang buat bau tu….. tapi kandungan sulfur di dalamnya. Alaaah..... menyalahkan sulfur pulak.

Seulas bawang putih sehari boleh membantu meningkatkan tahap kesihatan badan. Apa salahnya mengunyah seulas setiap pagi. Lupakan sebentar tentang rasa pedas dan bau itu. Saya rasa bau bawang putih jauh lebih baik dari bau asap rokok. Tak tahulah pulak kepada orang yang sudah berteman dengan rokok sejak kecil-kecil tu…..Tip mengurangkan bau(BO)? Ada……semua ada di dapur anda atau di laman rumah anda. Rajin-rajinlah bercucuk tanam.

Kalau masih enggan makan yang mentah, kita boleh mendapatkannya dalam bentuk pressed garlic (tablet) atau garlic oil (kapsul) di farmasi. Semuanya untuk membantu mengurangkan kesengsaraan menanggung sesuatu penyakit. Kita hanya mampu berusaha Allah juga yang menyembuhkannya. Tidak salah mencuba.

Setakat ini yang ingin saya bicara tentang bawang putih. Lain kali cerita pasal Bawang Merah pula. Mereka berdua itu komplimentari, saling lengkap melengkapi.



Friday, July 27, 2007

Perjalanan itu peristiwa


Sudah lewat lebih sebulan. Saya hanya ingin sisipkan coretan rasa hati saya pada tarikh itu.



JUN

Jauh perjalanan itu
Penuh ranjau onak dan duri
Merintis denai untuk bertamu
Kiranya waktunya sudah semakin hampir

Pada jejak yang kian sukar ditempuh
Aku berpesan pada diriku
Sabarlah akan sampai waktu yang manis itu
Mendakap erat jiwa yang pasrah
Tika itu aku akan berlari
Dengan tangan yang tergenggam
Lalu aku seru pada semua:
Alangkah indahnya kebebasan…

Aku sudah melewati saat getir yang memilukan
Dan aku bebas dari belenggu
Yang mencatur hidupku
Yang menagih segala kekuatanku
Yang mengganggu waktu santaiku
Yang penuh suka duka
Yang menjadi kenanganku
Yang mengisi lebih separuh hidupku

Sepanjang perjalanan panjangku itu
Aku sudah bertemu bibit-bibit kasih
Yang mewarnai persada dan hamparan yang kubentang itu
Lalu aku semai dan kubelai biar subur
Kerana aku tidak mahu ia kering dilupai
Dan tidak rapuh, punah dimakan usia

Aku sudah menggapai rasa puas
Tetamu yang datang bertandang ke kamarku
Sambil menyapa tentang diriku
Mengadu tentang susahnya perjalanan ini

Lalu aku khabarkan padanya satu cerita:
tentang tupai yang melompat di pohon kelapa
maka tamuku mengerti apa maksudku
Aku mahu ia pulang dengan senyuman
Lalu aku titipkan pesan pada mereka
Jangan lupa rumput di bumi, andai sudah meneroka angkasa

Dalam diam rupanya ada yang melihatku
Dengan rasa dendam dan cemburu
Melihat sesuatu dalam diriku
Aku juga mahu melihat dalam diriku
Aku pasti dendam mu itu hanya ingin mencalar
Dan mahu melukai jiwaku yang sudah tenang ini
Aku tega dan pasrah, …. bukan itu niatmu
Kerana kau punya waktu yang masih panjang
Untuk kau semadikan seluruh kekuatan dan kehebatanmu

Segala sejarah silam yang pernah mewarnai perjalananku
Kiranya ada yang pahit sudah kutelan
Kujadikan ia penawar yang mengubati luka-luka di hatiku
Kerana semua yang berlaku atas kehendakNya
Menghukum silap dan salahku
Mengingatkan aku betapa aku bukan insan sempurna
Mendewasakan akal dan nuraniku

Kiranya yang kulalui itu manis dan indah
Aku harus sentiasa ingat
Bahawa itu bukan kerana aku hebat
Kerana yang baik itu juga di atas kehendakNya
Dan yang manis itu juga datang dengan tanggungjawab
Supaya aku tidak angkuh
Segala-galanya bukan milikku yang mutlak

Namun 18 Jun itu muncul juga
Dalam diari sepiku
Terpanggil aku mengingati setiap detiknya
Dengan rasa keinsafan
Kesyukuran
Kerana masih ada yang mahu mengingatinya bersamaku
Ingin menampal segala kekosongan jiwa ini
Dengan doa dan harapan

Aku menangis
Perjalananku mampu menghampiri saat ini
Kekuranganku, ada kelebihan pada yang lain
Kekecewaanku tidak dapat membalut luka yang lain
Aku gembira ada yang mengongsi suka duka itu
Saat saat aku betapa memerlukan
Ada yang menangis bersamamu
Ada yang ketawa bersamaku

Dalam diriku adalah aku
Yang tidak sempurna
Dan aku bagai sebutir pasir di pantai.
Menerima hukum karma kiranya ombak datang bertandang

Harapanku hanya satu:

Aku tidak dilukai lagi

Sakit tidak tertahan.

Sunday, July 15, 2007

REJAB

Hari ini Isnin bersamaan 1 Rejab. Hari yang pertama Bulan Ke tujuh dalam kalender Hijrah. Hari ini saya dilahirkan ibu berpuluh tahun lalu. 1 Rejab itu saya mula melihat dunia dengan tangis yang begitu kuat. Dan kata ibu lagi, saya lahir ke dunia di waktu tengahari, ketika terang benderang dan panas terik. Ketika para ibu sibuk memasak di dapur untuk makan tengahari. Dan ketika ayah baru bersiap hendak pulang dari kerja sessi pagi.

Dan setiap hari pertama bulan hijrah adalah malam gelap, rembulan baru mahu menjenguk semula selepas menerangi malam gelita itu. Apakah saya kegelapan di dalam siang yang terang benderang itu? Mungkin hanya kulit saya yang tidak secerah kulit ibu yang putih bersih. Maka kerana saya lahir dalam awal bulan yang masih gelap itu, saya pun tergolong di dalam warna yang sawa matang itu, seperti warna kulit ayah. Lucu kan? Ia tak lucu pada waktu kecil saya itu. Sepupu-sepupu saya yang berkulit putih melepak itu membuat ibu mereka membandingkan kecerahan kulit anak mereka dengan saya. Kata-kata itu membuat saya masam kelat. Apakah semata-mata warna kulit yang dipandang sebagai lambang kecantikan lahiriah? Entahlah hingga kini saya masih belum mengerti, kerana rata-rata masih ramai kaum Hawa hari ini berebut-rebut mencari sesuatu formula untuk mencerahkan kulit mereka. Menyatakan warna itu dengan istilah lebih lembut sebagai 'kusam'. Itulah dunia kecantikan yang sering buat saya keliru.

Namun, saya tidak kegelapan dan sendirian mencari kasih, mencari identiti, mencari jati diri. Malah saya amat bersyukur dengan apa yang ada pada saya. Saya amat menghargai ibu dan ayah yang membesar, mengasuh, menjaga, mendidik, menegur kesilapan dan meghargai saya seadanya. Tanpa kehadiran mereka berdua yang tidak tahu mengenal erti penat itu, saya tidak akan dapat berdiri sekuat ini. Mereka memimpin dari dari tergelincir jatuh, merawat luka di sepanjang perjalanan saya, mendengar dan cuba memahami kata-kata awal saya ketika orang lain tidak mengerti. Dengan izin dan kuasa Allah Yang Akbar itu, inilah saya, seorang insan kerdil ibarat sebutir pasir di pantai itu. Di kala kesedaran tentang pendidikan anak masih suam-suam kuku, ayah saya nekad menghantar saya belajar, mengenepikan masalah kewangan. Itu bukan halangan nombor satu, katanya.

Itu adalah kenangan silam zaman kanak-kanak yang ingin saya jadikan INGATAN pada diri sendiri. Keperitan dan kesedihan itu ingin saya lupakan. Rasa bahagia itu sahaja yang ingin saya abadikan. Sesungguhnya Allah telah mengurniakan ayah dan ibu yang unggul kepada saya. Alhamdulillah.

Kini untuk kesekian kalinya dalam kalender hidup saya, 1 Rejab menjenguk lagi. Saya bersyukur kerana Allah masih memberi saya kesempatan menyambut ulang tahun hari lahir saya itu dengan puasa sunat.

Sekeping doa saya panjatkan di awal Rejab ini :

Ya Allah! Berkatilah kami dalam bulan Rejab dan dalam bulan Syaaban dan sampaikanlah kami ke dalam bulan Ramadhan.

Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha lembut lagi Maha Mulia. Maha suci Allah, tuhan 7 petala langit dan tuhan yang mempunyai arasy yang agung. Dan tiada kekuatan melainkan kekuatan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Thursday, July 12, 2007

Kisah 'Seorang Ayah'

Dalam perbualan dengan seorang pengetua sebuah sekolah menengah, dia mengeluh kerana sudah semakin ramai penuntut sekolahnya ada masalah disiplin. Terutama pasal ponteng. Saya amat setuju. Merokok juga sudah jadi perkara biasa. Beberapa kali saya terserempak dengan budak-budak yang duduk berlonggok di tepi semak berhampiran pintu belakang sekolah. Mereka ber ‘sarapan’ dengan menghisap rokok. Sudah tentu orang-orang yang tinggal di sekitar itu selalu nampak perbuatan mereka.

Ya, kita tak mahu mereka menyesal 10 - 20 tahun akan datang. Kita ada Wawasan 2020 dan berbagai-bagai wawasan lagi untuk dicapai.

“Nak suruh datang ambil markah peperiksaan pun tak mahu.” Rungut seorang guru kelas.

Pengetua itu kemudian bercakap tentang kedatangan 'seorang ayah' yang berjumpanya pagi itu. Ayah itu memberitahu anaknya terlibat dengan kemalangan jalanraya dan sedang dirawat di hospital sejak dua hari lepas. Tujuannya datang kerana meminta surat pengesahan pengetua bahawa anaknya seorang penuntut di sekolah itu. Bila diberitahu bahawa anaknya sudah 21 hari tak datang sekolah ayah itu terlopong.

“Saya tak tahu….”

“Kenapa sampai tak ambil tahu? Kami dah hantar surat amaran, cuma belum minta datang jumpa. ” Kata pengetua itu. Dia hairan kenapa surat itu tak sampai pada ayah itu. Surat itu sudah ‘hilang’ di rumah.

“Saya kerja.”

“Isteri pun kerja?”

“Tidak, dia sakit.” Tak sebut apa sakitnya.

Senario itu biasa. Ramai ayah tak ambil kisah. Mesyuarat PIBG pun tak sudi hadir. Emak saja yang hadir, itupun kerana anak dapat ‘hadiah. Ayah pun turut bangga kalau anak dapat anugerah. Saya teringat pada satu Hari mesyuarat PIBG yang pernah saya hadir, sekolah terpaksa buat ‘cabutan bertuah’ untuk memikat ibu bapa hadir. Maka berebut-rebutlah ibu bapa itu mengambil buku laporan yang sepatutnya diberi senaskah saja kepada satu keluarga. Hanya kerana ada nombor ‘bertuah’ pada sudut buku laporan itu. Beberapa famili tak dapat termasuk saya. Maka komplenlah orang yang tak dapat buku. Gawat sekejap dewan mesyuarat kerana orang yang tak ada buku tak tahu muka surat mana yang dirujuk.

Itulah dia. Semuanya perlu dipancing baru datang menjenguk. Dari kisah sekolah, perhimpunan, jamuan makan yang kena bayar, mesyuarat koperasi dan lain-lain. Gara-gara tak mahu balik dengan tangan kosong. Dah biasa sangat pasal pancing memancing ini sehingga timbul isu pancing undi. Adakah itu senario dan budaya yang kita mahu?

Kalau diminta datang berjumpa guru membincang pasal prestasi atau masalah disiplin, jarang sangat ayah yang datang. Alasan yang kerap didengar ialah: SAYA SIBUK. Selalunya ibu atau kadang-kadang abang atau kakak sahaja. Apa dah jadi dengan ‘ayah-ayah’ sekarang? Adakah fungsinya semata-mata untuk mencari rezeki sahaja? Tanggungjawab lain bolehkah di ‘delegate’ pada orang lain? Jangan lupa sekarang ramai juga isteri yang berkerja mencari rezeki.

Seperti contoh di atas tadi. Bolehkah dia mengharap kepada isterinya yang sakit itu? Dia kena jawab sendiri. Jangan salahkan isteri pula kerana tidak mengawasi anak. Dan jangan hanya salahkan guru-guru di sekolah. Seorang guru ada berpuluh-puluh ‘anak’ hendak dijaga. Kalau satu sekolah mempunyai 800 – 1,000 penuntut dan 50 – 60 orang guru, berapakah nisbah guru kepada penuntut berbanding ibubapa. Satu soalan mathematik yang mudah.

Fikirkanlah dan bertimbang rasalah supaya tidak ada guru yang ‘naik angin’ kerana masalah disiplin penuntutnya sehingga timbul saman menyaman.

Saya bukan seorang seorang guru, tapi sekadar bersimpati. Saya ‘guru’ di rumah sahaja. Itupun kadang-kadang 'naik angin' juga.

Monday, July 9, 2007

PERITNYA KEHILANGAN

Kelmarin saya dikejutkan lagi. Satu berita tentang kematian lagi. Z, Seorang rakan yang pernah berkerja setempat meninggal mengejut ketika menziarahi saudaranya. Tanpa ada amaran awal.

Al-fatihah.

Semoga dia dihimpunkan di dalam kalangan orang yang beriman dan mendapat rahmat Allah.

Dua minggu lepas, seorang rakan juga meninggal dunia. Dia adalah rakan satu sekolah, rakan satu universiti dan pernah jadi rakan sekerja. Seorang demi seorang meninggalkan saya. Kali terakhir saya bertemu dengan Z ketika kami sama-sama menziarahi teman yang sedang sakit itu dalam majlis bacaan Yaasin di rumahnya. Dalam suasana syahdu begitu tidak banyak yang kami bicarakan. Dia memohon diri lebih awal kerana isterinya ada tugas. Saya tidak menduga dia menyusul pergi.

Tiga bulan lepas pun saya menerima berita yang serupa. Dua orang teman se universiti juga pergi. Berita itu hanya saya terima lebih dua bulan selepas pemergian mereka. Pemergian semua mereka itu di kala ramai orang masih memerlukan kehadiran dan sumbangan mereka. Apakah daya kita menahan pemergian itu? Tidak ada. Ianya sudah ditentukan begitu. Kita hanya mampu berdoa dan memohon yang terbaik untuk semua orang. Itu sahaja selepas kita berusaha habis-habisan. Allah juga mahu kita berusaha sebelum menyerahkan kepadaNya.

Berita-berita itu menyedihkan dan membuat saya muhasabah. Kebesaran Allah yang menentukan perjalanan hidup kita, bila-bila masa kita akan dipanggil pergi menghadapNya. Di sana nanti kita akan dinilai dengan seadil-adilnya. Sebesar hama pun akan dikira. Semuanya hanya kerana kita semua mahu ke Jannah yang serba indah dan kekal itu. Siapa yang tak ingin ke sana. Mencium harum kasturi. Menikmati al-kautsar. Oleh itu amat perlu kita mesti mempersiapkan diri. Ini satu ingatan kepada diri saya sendiri.

Perjalanan ke sana itu bukan seperti pergi berperang atau menjadi pasukan pengaman di bumi Iraq yang sudah kacau bilau itu. Kita sudah tahu bila kita ke sana dan risiko yang kemungkinan ditanggung. Perjalanan menghadapNya itu amat rumit. Ya…. amat-amat rumit. Di sepanjang jalan itu banyak sangat cabaran dan dugaannya.

Jika diibaratkan saya sebutir pasir di pantai yang terbentang. Apabila datang alunan ombak yang lembut saya akan ditarik ke laut lepas. Jika datang ombak yang ganas menghempas, semakin jauh saya ditarik ke tengah laut itu. Bagaimana jika datang ombak tsunami. Ke manakah saya akan dicampakkan? Ngeri saya mengenangkannya.

Dan kita tahu ombak tidak akan berhenti-henti menghempas pantai. Sebutir pasir itu akan sentiasa menjadi mangsanya. Bukan sebutir pasir sahaja malah berbilion pasir akan menerima nasib yang sama.

Dan semalam juga saya dikejutkan lagi. R, seorang teman sedang menerima rawatan di hospital - di sebuah pusat perubatan pakar. (Di hospital yang sama di mana teman sekolah saya itu pernah dirawat.) Maknanya dia dirawat bukan kerana sakit demam yang biasa.

Sewaktu menziarahinya, saya berusaha menunjukkan muka yang seceria mungkin, supaya dia juga akan berfikiran positif…… menghadapi segala kemungkinan. Saya hanya mampu mendoakan supaya dia sembuh. Sewaktu mendakapnya saya terasa amat terharu. Saya hanya mampu memberi kata semangat padanya.

“Kuatkan semangat, fikirkan tentang orang yang masih memerlukan kita. Fikirkan juga tentang nasib orang yang lebih malang daripada kita. Jangan lupa, setiap penyakit ada ubatnya, kecuali mati. Kita semua akan ke sana. Anggap ini satu ujian, mengingatkan kita.” Mungkin mudah bagi saya mengucapkannya kerana saya tidak menerima nasib sepertinya. Tapi kata-kata itu juga untuk diri saya sendiri.

“Iya…. Doktor pun cakap begitu.”

“Doktor hanya boleh berusaha, Allah yang menyembuhkan. Minta pada Dia.” Pesan saya. Juga nampaknya mudah.

“Iya….”

“Sekurang-kurangnya, kita masih diberi peluang untuk memohon maaf dan memaafkan, bukan macam kawan kita yang pergi mengejut itu.” Kata saya.

“Iya…” Dia memberitahu saya dia baru saja lagi bertemu dengan Z di ofis. Z tahu dia sakit. Rupanya Z yang pergi dulu.

Dan sewaktu saya mendakapnya sekali lagi sebelum berangkat balik, saya tahu dia amat sebak. Saya juga begitu. Hampir saja saya menitiskan air mata. Kalau saya menangis, saya rasa dia tentu akan menangis kerana dia lebih merasai keresahan itu. Saya tak mahu itu berlaku.

Semoga dia tabah dan kuat semangatnya melawan penyakitnya itu. Itulah yang perlu dia lakukan sementara berbagai usaha dibuat untuk meringankan penderitaan dan mengubati penyakit yang datang itu.

Saya teringat pula kepada AR, ‘adik angkat’ saya di Bukit Katil, Melaka. Terngiang-ngiang di telinga saya keluhan dan keresahannya tentang isterinya yang masih muda yang sedang menghidap penyakit yang sama. Saya tahu dia takut kehilangan. Saya amat mengerti kerana saya juga pernah kehilangan. Orang yang amat dekat di hati saya pergi. Walaupun sudah lama berlalu, namun pesanannya kepada saya masih segar di ingatan. Saya redha dengan ketentuan Ilahi. Kalaulah boleh kita memperlahankan waktu supaya kita boleh berada lebih lama di samping orang yang tersayang itu. Kita hanya mampu berdoa di samping usaha mengurangkan semua kesengsaraan dan keresahan.

Saya segera memberitahu teman-teman lain tentang R yang sedang menerima rawatan di hospital itu, dengan harapan mereka juga akan datang menziarahinya, memberinya semangat.

Saturday, July 7, 2007

Sewaktu menaiki kenderaan untuk ke sebuah bandar di utara, tiba-tiba mata saya terpandang sesuatu yang pelik. Sayangnya saya tak bawa kamera untuk merakamkannya. Ada 'funfare' di tepi jalan. Di dalamnya, mengikut pandangan jarak jauh mata saya dari dalam kereta, struktur berupa masjid, kuil, gereja terdapat di dalamnya. Kenapa dibina struktur begitu dalam sebuah tempat berhibur? Adakah keagamaan itu sewenang-wenangnya boleh dijadikan sesuatu untuk hiburan, atau dalam berhibur jangan lupa pada agama, begitu? Dalam kebebasan tentang beragama kadang-kadang kita jadi begitu, melampaui batas sensitiviti. Macam-macam yang jadi sensitif, terutama benda biasa dan amat-amat biasa digunakan oleh semua manusia di bumi Allah ini - Pakaian.

Saya terpanggil atau tercuit hati untuk mengenang tentang etika berpakaian yang sampai dihebohkan dalam parlimen. Rasanya tak perlulah sampai parlimen pun nak bincang cara dan bagaimana harus berpakaian. Bukan saya menganggapnya remeh, tapi perkara itu sepatutnya difahami dari mula kita lahir di dunia fana ini. Apa yang boleh dan apa yang tak boleh. Di mana batas halal dan haramnya. Bukankah kita semua lahir dalam keadaan yang serupa? Baik lelaki atau perempuan. Kitalah yang mencorak dan mewarnakan kehidupan kita. Namun fitrah manusia yang cerdik dan bijak dikurniakan akal oleh Allah itu sepatutnya digunakan dengan sebaik-baiknya, menilai dengan akal yang bijak juga. Alhamdulillah kalau penilaian itu baik.

Agak menyeramkan bunyi statement yang saya terbaca tentang cara berpakaian itu: Semakin popular dan semakin hebat, semakin sedikit pakaian yang membalut tubuh. Bukan tak cukup kain, kerana kain itu dibiarkan meleret-leret menyapu lantai, namun tidak ada usaha untuk menutup apa yang sepatutnya ditutup. Agaknya kerana hendak menggayakan berlian yang mahal itu, sehingga sanggup mengorbankan hak yang lain. Entahlah.....Di manakah letaknya prinsip Rukun Negara? (Belum bicara tentang Rukun Islam dan Rukun Iman, tak sampai ilmu saya untuk membincangkan dengan lebih mendalam, biarlah orang yang lebih arif, yang mengupas tentang itu.) Adakah hanya mainan bibir, tidak diperhalusi dan diterapkan ke dalam jiwa nurani. Kerana Rukun itu kalau boleh janganlah ditinggalkan. Apakah saya yang keliru?

Jadi dalam hal apa sekalipun, kita kena toleh balik ke belakang dan lihat: Apakah kita sudah tersesat jalan. Kalau rasanya dah tak nampak tempat di mana kita melangkah pada mula-mula, maknanya kita sudah melencong. Bukankah kita sentiasa memohon supaya ditunjukkan jalan yang lurus itu? Janganlah sampai sesat di hujung jalan, susah nak balik ke pangkal jalan. Simpang-simpang di sepanjang jalan itulah yang menyesatkan kita, secara fizikal dan fikiran(F &F). Oleh itu, berhenti sekejap dan pandanglah ke belakang, untuk menilai semula perjalanan kita. Pemandangan yang di depan itu walaupun cantik, tak semestinya menjanjikan sesuatu yang indah. Waulahu’alam.

Seringkali juga keluar statement yang begini: "Terpulang kepada individu, dia boleh fikir sendiri mana yang baik, mana yang buruk.", "Banyak sangat kontroversi." "Semua nak jadi isu.". Kalau itulah yang dijadikan alasan.....sampai bila pun kita akan tetap begitu, melenting bila ditegur. Bila orang kata kita 'melatah' kita marah.

Sesungguhnya, selemah-lemah teguran itu dengan hati.

Setiap orang Islam akan sentiasa menyebut dalam solatnya :Allah Yang Maha Besar.

Saya sentiasa mengingatkan diri saya tentang kebesaran Allah yang kekal itu. Amat takut untuk menghadapi perjalanan kita di alam fana ini yang akan berakhir bila-bila masa.

Wednesday, July 4, 2007

Sofiyah

Entah kenapa saya tiba-tiba teringat pada nama itu. Nama seorang teman waktu kecil dulu. Nama itu indah, mudah disebut. Teman saya waktu kecil dulu pun seorang yanag cantik, lembut orangnya dan sangat merendah diri. Jadi hari ini saya nak buat satu cerita atas tajuk

"SOFIYAH".

Cerita saya tidak menggambarkan tentang teman saya itu. Langsung tidak ada kena mengena, sekadar meminjam namanya sahaja. Ia juga tidak ada kena mengena dengan sesiapa pun, sama ada yang hidup ataupun yang telah tiada. Khayalan semata-mata. Saya tak pandai buat cerita, tulispun tonggang langgang lagi. Kalau ada sesiapa yang terbaca cerita saya ini dan nak komen pun dialu-alukan. Mungkin boleh bagi saya idea untuk memanjang-manjangkannya dan menjadi sebuah buku. Kalau boleh janganlah sampai jadi macam 'cerita' negara latin yang meleret-leret itu, sudahlah.

Begini ceritanya:



SOFIYAH


Sofiyah mengemaskan barang-barangnya yang terakhir. Dia memastikan pasport dan dokumen perjalanannya sudah ada di dalam beg galasnya bagi memudahkannya di kaunter imegresen nanti. Namun dalam hatinya masih berat untuk meninggalkan keluarganya. Cuti pengajiannya masih ada lagi sepuluh hari, tapi dia nekad untuk kembali ke United Kingdom hari ini. Penerbangannya pada jam 11.45 malam dengan penerbangan Malaysia. Perjalanan panjang itu tentu akan memenatkannya, dia pasti akan rasa jemu dengan tempoh itu. Dia melihat jam di dinding baru menunjukkan jam 6.00 petang. Dia memutuskan untuk pergi lebih awal ke lapangan terbang KLIA.

Tengahari tadi dia sudah minta izin dari ayahnya, Datuk Badrul Naim, untuk kembali ke Dublin hari ini. Kesibukan ayahnya tidak memungkinkan dapat pergi bersama menghantarnya ke airport. Ayahnya orang bisnes, sentiasa sibuk. Hari ini dia ada tetamu dari Korea dan telah menyerahkan tugas menghantarnya ke KLIA kepada pemandunya, Pak Samad. “Ibu tak payah hantar Sofi, temankan ayah, biar Pak Samad saja hantar Sofi.” Katanya bila ibunya, Datin Juriah menyatakan kesalnya kerana tidak dapat bersamanya ke airport.

“Abang ke mana, ibu?” tanya Sofiyah

“Masih di ofis agaknya, mungkin bersama ayah.” Jawab ibunya. Sofiyah menghantar SMS kepada abangnya, Safuan, menyatakan akan berangkat ke airport dan memohon maaf kerana banyak menyusahkannya. Sofiyah memeluk dan mencium ibunya dan Mak Som, pembantu rumahnya sebelum masuk ke kereta.

"Pukul berapa berangkat, Sofiyah?" Tanya Pak Samad, sebaik-baik dia masuk dan ke tempat duduk pemandu. Pak Samad mengenakan tali keledar dan membetulkan duduknya agar lebih selesa.
"11.45 malam." Pendek jawab Sofiyah.

Pak Samad memandu perlahan, keluar dari rumah banglo besar itu. Sofiyah melambaikan tangannya kepada ibunya dan Mak Som yang berdiri di sebelahnya. Mak Som adalah isteri Pak Samad dan sudah dianggap seperti ibunya juga. Sejak kecil Mak Som sudah bersama mereka.

“Kenapa awal sangat, Sofiyah. Banyak masa lagi.” Tanya Pak Samad.

“Kan Pak Samad nak bawa ibu nanti. Ayah tak balik petang ni, dia pergi ke hotel tu nanti dengan abang dari ofis terus.” Jawab Sofiyah.

“Oh ya tak ya, Pak Samad lupa. Alaa dah tua ni selalu lupa pulak.” Kata Pak Samad sambil ketawa kecil.

Sofiyah turut ketawa. “Sofi solat maghrib di airport saja. Senang. Pak Samad tak perlu tunggu Sofi. Nanti lambat pulak nak hantar ibu.” Kata Sofiyah lagi.

Pak Samad mengangguk. “Kenapa nak balik cepat sangat Sofiyah, kan cutinya lama lagi?” tanya Pak Samad memandang Sofiyah melalui cermin.

Pak Samad sudah lama bekerja dengan Datuk Badrul dan sangat rapat dengan keluarga itu. Sebagai seorang pemandu yang sangat berdisplin, setiap kali memandu dan membawa mereka Pak Samad tidak mahu mereka duduk di hadapan, di sebelahnya. Dia lebih selesa begitu. Dari cermin kereta itu Pak Samad nampak Sofiyah seperti tidak gembira dan ada sesuatu yang ingin disembunyikan.

“Dah lama Sofi kat sini, Pak Samad, lagipun rumah di sana tu pun dah lama kosong, nak kemas-kemas sikit sebelum semester. Ada housemate baru nak masuk rumah, jadi Sofi pun dah janji dengan Tina nak balik awal. Dia kena resit paper jadi dia tak balik. Kesian dia seorang di sana, Pak Samad. Kalau ada masa berkemas rumah sebelum cuti semester habis, tak lah Sofi penat sangat nanti.” Alasan Sofiyah

“Budak baru tu budak Malaysia jugakah?” tanya Pak Samad sekadar ingin tahu.

Sofiyah memandang Pak Samad melalui cermin depan. “ Huh uh, Intan namanya. Budak lama yang seorang dah balik sama Sofi dulu, jadi ada kawan baru pulak masuk. Kat sana macam tu lah Pak Samad, kalau tidak, banyaklah duit sewa rumah nak kena bayar. Itu pun kena bayar 200 euro seorang, lebih kurang 900 duit kita sebulan.”

“Banyak tu...., kawan se rumah Sofi ada berapa orang?”

“Empat”

“Wah... jadi 3,600 duit kita. Besar ke rumahnya?”

Sofiyah tersenyum. “Apartment aje Pak Samad. Dua bilik, ada hall, ada dapur, satu bilik air. Itu aje. Jadilah... sementara belajar, kena jimatlah Pak Samad. Itu sebab rasa rugi kalau tak duduk. Kalau cuti sem selalu Sofi cari kerja part-time Pak Samad, nak cari duit lebih sikit. Bolehlah belanja lebih. Kali ni Sofi balik, tak carilah.”

“Senang ke dapat kerja kat sana?” Tanya Pak Samad lagi.

“Tak juga, tapi kena pandai lah. Sofi ingat Sofi pun nak cari kerja kat sana lepas graduate nanti. Cari pengalaman.”

“Mengapa tak minta pada abah aje? Abah Sofi kan banyak duit.” Pak Samad bersuara.

Sofiyah melepaskan pandangannya keluar sambil menjawab. “Memang abah bagi Pak Samad. Cukup yang dia bagi tu kalau setakat nak bayar sewa rumah dengan makan. Tapi kadang-kadang kita nak jalan-jalan mesti ada extra money, Pak Samad. Lagipun ada duit yang kita dapat sendiri puas hati.” Jawab Sofi.

Pak Samad tidak bertanya lagi, membiarkan Sofiyah melayani fikirannya. Dia pun macam tak ada ‘mood’ nak bersoal jawab dengannya. Sofiyah memejamkan matanya bukan untuk tidur kerana nanti dia akan tidur dalam perjalanan yang amat lama itu nanti. Dalam kotak fikirannya dia rasa cutinya amat membosankan. Ayahnya sibuk dengan bisnesnya, langsung tak ada masa bercuti seperti janjinya, jadi ibunya pun tak dapat menemaninya berjalan-jalan. Dia kesal dengan keadaan itu. Ayahnya sepatutnya sudah boleh berehat. Abangnya sudah boleh mengambil alih.

“Boleh Pak Samad tanya sikit pada Sofi?” tiba-tiba Pak Samad bersuara, jemu dengan suasana sepi itu.

“Ada apa Pak Samad?” Jawab Sofiyah, matanya masih memandang keluar tingkap.

“Pak Samad tengok Sofi macam sedih aje balik ke sini. Tinggal boyfriend kat sana agaknya?” Pak Samad bertanya sambil ketawa.

Sofiyah ketawa kecil mendengar kata Pak Samad, “Eh, tidaklah Pak Samad. Sofi mana ada boyfriend. Study mana boleh campur aduk dengan boyfriend.”

“Jadi Zahid sahajalah yang Sofi kawan sekarang ni?” tanya Pak Samad lagi.

“Buat masa sekarang macam tu lah Pak Samad.” Sofiyah menjawab seperti tidak suka bila Pak Samad menyebut nama Zahid.

“Habis? Kenapa balik ke sana cepat sangat. Kat sini kan boleh jumpa Zahid. Sofi tak jumpa dia sebelum balik ni?” tanya Pak Samad.

“Ada, minggu lepas.” Jawab Sofiyah memandang muka Pak Samad melalui cermin kereta.

“Sofi tak cakap dengan dia Sofi nak balik hari ni?” soal siasat Pak Samad lagi, menjeling cermin kereta itu.

“Sofi dah beritahu dia, agaknya dia lupa. Dia sibuk lah Pak Samad. Malas Sofi nak kacau.” jawab Sofiyah acuh tak acuh.

“Haa, jadi Pak Samad rasa Sofiyah ni macam nak lari dari sesuatu. Merajuk ke? Ada kaitan dengan Zahid ke?” tanya Pak Samad lagi.




Setakat ini dulu cerita saya. Saya akan sambung lagi di satu masa nanti, kalau rasanya ada yang ingin tahu apa berlaku seterusnya kepada Sofiyah.

Tiba-tiba saya mendengar azan solat Maghrib di skrin komputer ini. Ia tidak mengganggu, tapi mengingatkan saya kepada kewajipan yang tak boleh tidak mesti ditunaikan. Tidak ada kompromi..... Jadi jumpa lagi. Insya Allah.