Saturday, July 7, 2007

Sewaktu menaiki kenderaan untuk ke sebuah bandar di utara, tiba-tiba mata saya terpandang sesuatu yang pelik. Sayangnya saya tak bawa kamera untuk merakamkannya. Ada 'funfare' di tepi jalan. Di dalamnya, mengikut pandangan jarak jauh mata saya dari dalam kereta, struktur berupa masjid, kuil, gereja terdapat di dalamnya. Kenapa dibina struktur begitu dalam sebuah tempat berhibur? Adakah keagamaan itu sewenang-wenangnya boleh dijadikan sesuatu untuk hiburan, atau dalam berhibur jangan lupa pada agama, begitu? Dalam kebebasan tentang beragama kadang-kadang kita jadi begitu, melampaui batas sensitiviti. Macam-macam yang jadi sensitif, terutama benda biasa dan amat-amat biasa digunakan oleh semua manusia di bumi Allah ini - Pakaian.

Saya terpanggil atau tercuit hati untuk mengenang tentang etika berpakaian yang sampai dihebohkan dalam parlimen. Rasanya tak perlulah sampai parlimen pun nak bincang cara dan bagaimana harus berpakaian. Bukan saya menganggapnya remeh, tapi perkara itu sepatutnya difahami dari mula kita lahir di dunia fana ini. Apa yang boleh dan apa yang tak boleh. Di mana batas halal dan haramnya. Bukankah kita semua lahir dalam keadaan yang serupa? Baik lelaki atau perempuan. Kitalah yang mencorak dan mewarnakan kehidupan kita. Namun fitrah manusia yang cerdik dan bijak dikurniakan akal oleh Allah itu sepatutnya digunakan dengan sebaik-baiknya, menilai dengan akal yang bijak juga. Alhamdulillah kalau penilaian itu baik.

Agak menyeramkan bunyi statement yang saya terbaca tentang cara berpakaian itu: Semakin popular dan semakin hebat, semakin sedikit pakaian yang membalut tubuh. Bukan tak cukup kain, kerana kain itu dibiarkan meleret-leret menyapu lantai, namun tidak ada usaha untuk menutup apa yang sepatutnya ditutup. Agaknya kerana hendak menggayakan berlian yang mahal itu, sehingga sanggup mengorbankan hak yang lain. Entahlah.....Di manakah letaknya prinsip Rukun Negara? (Belum bicara tentang Rukun Islam dan Rukun Iman, tak sampai ilmu saya untuk membincangkan dengan lebih mendalam, biarlah orang yang lebih arif, yang mengupas tentang itu.) Adakah hanya mainan bibir, tidak diperhalusi dan diterapkan ke dalam jiwa nurani. Kerana Rukun itu kalau boleh janganlah ditinggalkan. Apakah saya yang keliru?

Jadi dalam hal apa sekalipun, kita kena toleh balik ke belakang dan lihat: Apakah kita sudah tersesat jalan. Kalau rasanya dah tak nampak tempat di mana kita melangkah pada mula-mula, maknanya kita sudah melencong. Bukankah kita sentiasa memohon supaya ditunjukkan jalan yang lurus itu? Janganlah sampai sesat di hujung jalan, susah nak balik ke pangkal jalan. Simpang-simpang di sepanjang jalan itulah yang menyesatkan kita, secara fizikal dan fikiran(F &F). Oleh itu, berhenti sekejap dan pandanglah ke belakang, untuk menilai semula perjalanan kita. Pemandangan yang di depan itu walaupun cantik, tak semestinya menjanjikan sesuatu yang indah. Waulahu’alam.

Seringkali juga keluar statement yang begini: "Terpulang kepada individu, dia boleh fikir sendiri mana yang baik, mana yang buruk.", "Banyak sangat kontroversi." "Semua nak jadi isu.". Kalau itulah yang dijadikan alasan.....sampai bila pun kita akan tetap begitu, melenting bila ditegur. Bila orang kata kita 'melatah' kita marah.

Sesungguhnya, selemah-lemah teguran itu dengan hati.

Setiap orang Islam akan sentiasa menyebut dalam solatnya :Allah Yang Maha Besar.

Saya sentiasa mengingatkan diri saya tentang kebesaran Allah yang kekal itu. Amat takut untuk menghadapi perjalanan kita di alam fana ini yang akan berakhir bila-bila masa.

No comments: