Thursday, July 12, 2007

Kisah 'Seorang Ayah'

Dalam perbualan dengan seorang pengetua sebuah sekolah menengah, dia mengeluh kerana sudah semakin ramai penuntut sekolahnya ada masalah disiplin. Terutama pasal ponteng. Saya amat setuju. Merokok juga sudah jadi perkara biasa. Beberapa kali saya terserempak dengan budak-budak yang duduk berlonggok di tepi semak berhampiran pintu belakang sekolah. Mereka ber ‘sarapan’ dengan menghisap rokok. Sudah tentu orang-orang yang tinggal di sekitar itu selalu nampak perbuatan mereka.

Ya, kita tak mahu mereka menyesal 10 - 20 tahun akan datang. Kita ada Wawasan 2020 dan berbagai-bagai wawasan lagi untuk dicapai.

“Nak suruh datang ambil markah peperiksaan pun tak mahu.” Rungut seorang guru kelas.

Pengetua itu kemudian bercakap tentang kedatangan 'seorang ayah' yang berjumpanya pagi itu. Ayah itu memberitahu anaknya terlibat dengan kemalangan jalanraya dan sedang dirawat di hospital sejak dua hari lepas. Tujuannya datang kerana meminta surat pengesahan pengetua bahawa anaknya seorang penuntut di sekolah itu. Bila diberitahu bahawa anaknya sudah 21 hari tak datang sekolah ayah itu terlopong.

“Saya tak tahu….”

“Kenapa sampai tak ambil tahu? Kami dah hantar surat amaran, cuma belum minta datang jumpa. ” Kata pengetua itu. Dia hairan kenapa surat itu tak sampai pada ayah itu. Surat itu sudah ‘hilang’ di rumah.

“Saya kerja.”

“Isteri pun kerja?”

“Tidak, dia sakit.” Tak sebut apa sakitnya.

Senario itu biasa. Ramai ayah tak ambil kisah. Mesyuarat PIBG pun tak sudi hadir. Emak saja yang hadir, itupun kerana anak dapat ‘hadiah. Ayah pun turut bangga kalau anak dapat anugerah. Saya teringat pada satu Hari mesyuarat PIBG yang pernah saya hadir, sekolah terpaksa buat ‘cabutan bertuah’ untuk memikat ibu bapa hadir. Maka berebut-rebutlah ibu bapa itu mengambil buku laporan yang sepatutnya diberi senaskah saja kepada satu keluarga. Hanya kerana ada nombor ‘bertuah’ pada sudut buku laporan itu. Beberapa famili tak dapat termasuk saya. Maka komplenlah orang yang tak dapat buku. Gawat sekejap dewan mesyuarat kerana orang yang tak ada buku tak tahu muka surat mana yang dirujuk.

Itulah dia. Semuanya perlu dipancing baru datang menjenguk. Dari kisah sekolah, perhimpunan, jamuan makan yang kena bayar, mesyuarat koperasi dan lain-lain. Gara-gara tak mahu balik dengan tangan kosong. Dah biasa sangat pasal pancing memancing ini sehingga timbul isu pancing undi. Adakah itu senario dan budaya yang kita mahu?

Kalau diminta datang berjumpa guru membincang pasal prestasi atau masalah disiplin, jarang sangat ayah yang datang. Alasan yang kerap didengar ialah: SAYA SIBUK. Selalunya ibu atau kadang-kadang abang atau kakak sahaja. Apa dah jadi dengan ‘ayah-ayah’ sekarang? Adakah fungsinya semata-mata untuk mencari rezeki sahaja? Tanggungjawab lain bolehkah di ‘delegate’ pada orang lain? Jangan lupa sekarang ramai juga isteri yang berkerja mencari rezeki.

Seperti contoh di atas tadi. Bolehkah dia mengharap kepada isterinya yang sakit itu? Dia kena jawab sendiri. Jangan salahkan isteri pula kerana tidak mengawasi anak. Dan jangan hanya salahkan guru-guru di sekolah. Seorang guru ada berpuluh-puluh ‘anak’ hendak dijaga. Kalau satu sekolah mempunyai 800 – 1,000 penuntut dan 50 – 60 orang guru, berapakah nisbah guru kepada penuntut berbanding ibubapa. Satu soalan mathematik yang mudah.

Fikirkanlah dan bertimbang rasalah supaya tidak ada guru yang ‘naik angin’ kerana masalah disiplin penuntutnya sehingga timbul saman menyaman.

Saya bukan seorang seorang guru, tapi sekadar bersimpati. Saya ‘guru’ di rumah sahaja. Itupun kadang-kadang 'naik angin' juga.

No comments: