Sunday, July 15, 2007

REJAB

Hari ini Isnin bersamaan 1 Rejab. Hari yang pertama Bulan Ke tujuh dalam kalender Hijrah. Hari ini saya dilahirkan ibu berpuluh tahun lalu. 1 Rejab itu saya mula melihat dunia dengan tangis yang begitu kuat. Dan kata ibu lagi, saya lahir ke dunia di waktu tengahari, ketika terang benderang dan panas terik. Ketika para ibu sibuk memasak di dapur untuk makan tengahari. Dan ketika ayah baru bersiap hendak pulang dari kerja sessi pagi.

Dan setiap hari pertama bulan hijrah adalah malam gelap, rembulan baru mahu menjenguk semula selepas menerangi malam gelita itu. Apakah saya kegelapan di dalam siang yang terang benderang itu? Mungkin hanya kulit saya yang tidak secerah kulit ibu yang putih bersih. Maka kerana saya lahir dalam awal bulan yang masih gelap itu, saya pun tergolong di dalam warna yang sawa matang itu, seperti warna kulit ayah. Lucu kan? Ia tak lucu pada waktu kecil saya itu. Sepupu-sepupu saya yang berkulit putih melepak itu membuat ibu mereka membandingkan kecerahan kulit anak mereka dengan saya. Kata-kata itu membuat saya masam kelat. Apakah semata-mata warna kulit yang dipandang sebagai lambang kecantikan lahiriah? Entahlah hingga kini saya masih belum mengerti, kerana rata-rata masih ramai kaum Hawa hari ini berebut-rebut mencari sesuatu formula untuk mencerahkan kulit mereka. Menyatakan warna itu dengan istilah lebih lembut sebagai 'kusam'. Itulah dunia kecantikan yang sering buat saya keliru.

Namun, saya tidak kegelapan dan sendirian mencari kasih, mencari identiti, mencari jati diri. Malah saya amat bersyukur dengan apa yang ada pada saya. Saya amat menghargai ibu dan ayah yang membesar, mengasuh, menjaga, mendidik, menegur kesilapan dan meghargai saya seadanya. Tanpa kehadiran mereka berdua yang tidak tahu mengenal erti penat itu, saya tidak akan dapat berdiri sekuat ini. Mereka memimpin dari dari tergelincir jatuh, merawat luka di sepanjang perjalanan saya, mendengar dan cuba memahami kata-kata awal saya ketika orang lain tidak mengerti. Dengan izin dan kuasa Allah Yang Akbar itu, inilah saya, seorang insan kerdil ibarat sebutir pasir di pantai itu. Di kala kesedaran tentang pendidikan anak masih suam-suam kuku, ayah saya nekad menghantar saya belajar, mengenepikan masalah kewangan. Itu bukan halangan nombor satu, katanya.

Itu adalah kenangan silam zaman kanak-kanak yang ingin saya jadikan INGATAN pada diri sendiri. Keperitan dan kesedihan itu ingin saya lupakan. Rasa bahagia itu sahaja yang ingin saya abadikan. Sesungguhnya Allah telah mengurniakan ayah dan ibu yang unggul kepada saya. Alhamdulillah.

Kini untuk kesekian kalinya dalam kalender hidup saya, 1 Rejab menjenguk lagi. Saya bersyukur kerana Allah masih memberi saya kesempatan menyambut ulang tahun hari lahir saya itu dengan puasa sunat.

Sekeping doa saya panjatkan di awal Rejab ini :

Ya Allah! Berkatilah kami dalam bulan Rejab dan dalam bulan Syaaban dan sampaikanlah kami ke dalam bulan Ramadhan.

Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha lembut lagi Maha Mulia. Maha suci Allah, tuhan 7 petala langit dan tuhan yang mempunyai arasy yang agung. Dan tiada kekuatan melainkan kekuatan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

No comments: