Monday, July 9, 2007

PERITNYA KEHILANGAN

Kelmarin saya dikejutkan lagi. Satu berita tentang kematian lagi. Z, Seorang rakan yang pernah berkerja setempat meninggal mengejut ketika menziarahi saudaranya. Tanpa ada amaran awal.

Al-fatihah.

Semoga dia dihimpunkan di dalam kalangan orang yang beriman dan mendapat rahmat Allah.

Dua minggu lepas, seorang rakan juga meninggal dunia. Dia adalah rakan satu sekolah, rakan satu universiti dan pernah jadi rakan sekerja. Seorang demi seorang meninggalkan saya. Kali terakhir saya bertemu dengan Z ketika kami sama-sama menziarahi teman yang sedang sakit itu dalam majlis bacaan Yaasin di rumahnya. Dalam suasana syahdu begitu tidak banyak yang kami bicarakan. Dia memohon diri lebih awal kerana isterinya ada tugas. Saya tidak menduga dia menyusul pergi.

Tiga bulan lepas pun saya menerima berita yang serupa. Dua orang teman se universiti juga pergi. Berita itu hanya saya terima lebih dua bulan selepas pemergian mereka. Pemergian semua mereka itu di kala ramai orang masih memerlukan kehadiran dan sumbangan mereka. Apakah daya kita menahan pemergian itu? Tidak ada. Ianya sudah ditentukan begitu. Kita hanya mampu berdoa dan memohon yang terbaik untuk semua orang. Itu sahaja selepas kita berusaha habis-habisan. Allah juga mahu kita berusaha sebelum menyerahkan kepadaNya.

Berita-berita itu menyedihkan dan membuat saya muhasabah. Kebesaran Allah yang menentukan perjalanan hidup kita, bila-bila masa kita akan dipanggil pergi menghadapNya. Di sana nanti kita akan dinilai dengan seadil-adilnya. Sebesar hama pun akan dikira. Semuanya hanya kerana kita semua mahu ke Jannah yang serba indah dan kekal itu. Siapa yang tak ingin ke sana. Mencium harum kasturi. Menikmati al-kautsar. Oleh itu amat perlu kita mesti mempersiapkan diri. Ini satu ingatan kepada diri saya sendiri.

Perjalanan ke sana itu bukan seperti pergi berperang atau menjadi pasukan pengaman di bumi Iraq yang sudah kacau bilau itu. Kita sudah tahu bila kita ke sana dan risiko yang kemungkinan ditanggung. Perjalanan menghadapNya itu amat rumit. Ya…. amat-amat rumit. Di sepanjang jalan itu banyak sangat cabaran dan dugaannya.

Jika diibaratkan saya sebutir pasir di pantai yang terbentang. Apabila datang alunan ombak yang lembut saya akan ditarik ke laut lepas. Jika datang ombak yang ganas menghempas, semakin jauh saya ditarik ke tengah laut itu. Bagaimana jika datang ombak tsunami. Ke manakah saya akan dicampakkan? Ngeri saya mengenangkannya.

Dan kita tahu ombak tidak akan berhenti-henti menghempas pantai. Sebutir pasir itu akan sentiasa menjadi mangsanya. Bukan sebutir pasir sahaja malah berbilion pasir akan menerima nasib yang sama.

Dan semalam juga saya dikejutkan lagi. R, seorang teman sedang menerima rawatan di hospital - di sebuah pusat perubatan pakar. (Di hospital yang sama di mana teman sekolah saya itu pernah dirawat.) Maknanya dia dirawat bukan kerana sakit demam yang biasa.

Sewaktu menziarahinya, saya berusaha menunjukkan muka yang seceria mungkin, supaya dia juga akan berfikiran positif…… menghadapi segala kemungkinan. Saya hanya mampu mendoakan supaya dia sembuh. Sewaktu mendakapnya saya terasa amat terharu. Saya hanya mampu memberi kata semangat padanya.

“Kuatkan semangat, fikirkan tentang orang yang masih memerlukan kita. Fikirkan juga tentang nasib orang yang lebih malang daripada kita. Jangan lupa, setiap penyakit ada ubatnya, kecuali mati. Kita semua akan ke sana. Anggap ini satu ujian, mengingatkan kita.” Mungkin mudah bagi saya mengucapkannya kerana saya tidak menerima nasib sepertinya. Tapi kata-kata itu juga untuk diri saya sendiri.

“Iya…. Doktor pun cakap begitu.”

“Doktor hanya boleh berusaha, Allah yang menyembuhkan. Minta pada Dia.” Pesan saya. Juga nampaknya mudah.

“Iya….”

“Sekurang-kurangnya, kita masih diberi peluang untuk memohon maaf dan memaafkan, bukan macam kawan kita yang pergi mengejut itu.” Kata saya.

“Iya…” Dia memberitahu saya dia baru saja lagi bertemu dengan Z di ofis. Z tahu dia sakit. Rupanya Z yang pergi dulu.

Dan sewaktu saya mendakapnya sekali lagi sebelum berangkat balik, saya tahu dia amat sebak. Saya juga begitu. Hampir saja saya menitiskan air mata. Kalau saya menangis, saya rasa dia tentu akan menangis kerana dia lebih merasai keresahan itu. Saya tak mahu itu berlaku.

Semoga dia tabah dan kuat semangatnya melawan penyakitnya itu. Itulah yang perlu dia lakukan sementara berbagai usaha dibuat untuk meringankan penderitaan dan mengubati penyakit yang datang itu.

Saya teringat pula kepada AR, ‘adik angkat’ saya di Bukit Katil, Melaka. Terngiang-ngiang di telinga saya keluhan dan keresahannya tentang isterinya yang masih muda yang sedang menghidap penyakit yang sama. Saya tahu dia takut kehilangan. Saya amat mengerti kerana saya juga pernah kehilangan. Orang yang amat dekat di hati saya pergi. Walaupun sudah lama berlalu, namun pesanannya kepada saya masih segar di ingatan. Saya redha dengan ketentuan Ilahi. Kalaulah boleh kita memperlahankan waktu supaya kita boleh berada lebih lama di samping orang yang tersayang itu. Kita hanya mampu berdoa di samping usaha mengurangkan semua kesengsaraan dan keresahan.

Saya segera memberitahu teman-teman lain tentang R yang sedang menerima rawatan di hospital itu, dengan harapan mereka juga akan datang menziarahinya, memberinya semangat.

No comments: